SEMPORNA: Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan Pulau Bum-Bum perlu diteruskan kerana impak positif daripada segi ekonomi dan jalinan hubungan penduduk khususnya.
Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Jaujan Sambakong, berkata kini penduduk Pulau Bum-Bum bergantung penuh kepada perkhidmatan bot untuk berulang alik antara pulau itu dan tanah besar Semporna bagi urusan harian.
“Lebih 20,000 penduduk Pulau Bum-Bum di sini terpaksa menanggung risiko kerana perlu menggunakan bot untuk mengangkut barangan dan kenderaan mereka ke tanah besar Semporna.
“Pembinaan jambatan menghubungkan tanah besar Semporna dan Pulau Bum-Bum adalah satu keperluan penting untuk masyarakat di sini,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui sempena Program Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Semporna di sini kelmarin.
Menurutnya, keputusan pembinaan jambatan itu amatlah bertepatan dan perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan penduduk berkenaan.
“Setiap penyaluran peruntukan menjurus kepada pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan dan bergantung kepada kepentingan situasi dan kebesaran kesan positifnya yang lebih melibatkan kelompok besar masyarakat,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Aldam Abdullah berpendapat pembinaan jambatan itu perlu diteruskan.
“Ini kerana jambatan itu merupakan nadi utama dan kemudahan perhubungan penduduk dengan dunia luar terutama dalam memasarkan hasil kraftangan dan ternakan ke pusat bandar dan pekan berhampiran.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak, iaitu mengabaikan pembangunan masyarakat di kawasan luar bandar kerana selama ini banyak usaha, kerja dan pembangunan telah dilakukan oleh kerajaan dalam mempertingkatkan kemudahan asas, ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat dari kawasan luar bandar,” katanya.
Seorang lagi guru, Sharifah Rosita Sharif Ibrahim, turut menyuarakan sokongan sepenuhnya untuk meneruskan pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum demi kemajuan dan keselesaan penduduk Semporna khususnya.
Jelasnya, perkembangan pada masyarakat luar bandar secara tidak langsung akan turut memberi impak positif yang memberangsangkan bagi penduduk di kawasan bandar, terutama dari segi pemasaran hasil pertanian, ternakan dan industri-industri kecil yang berlaku di kawasan luar bandar. - Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan